Wall

Jumaat, 18 Januari 2013

Bersediakah Aku Menjadi Imam Solatmu?


Gambar: FB Lukisan Dakwah Islam
Pengalaman di surau

“Abang, sayang gembira sebab abang jadi imam solat sayang. Inilah yang sayang impikan. Seorang lelaki seperti abang.” Kata ummi. Kami selesai solat subuh bersama-sama. Beliau pandai bermain kata dengan abi. Manja. Sungguh, abi bahagia mendengar kata-kata sebegitu daripada seorang isteri. Sungguhpun perkahwinan kami sudah menjangkau 6 tahun, kami sangat bahagia. Romantik. Seolah-olah baru berkahwin!

“Hmm, sebab itu, abang mempersiapkan diri sebelum berkahwin. Berusaha menjadi imam sebelum berkahwin lagi. Abang nak bimbing keluarga abang, sehingga ke syurga.” Kata abi. Ringkas. Abi memberikan ciuman di dahinya. Tanda kasih sayang.

“Tetapi, abang sedih melihat situasi sekarang ni.” Abi menyambung.

“Kenapa?” Soal isteri abi.

“Soal lelaki. Berkenaan menjadi imam. Abang pernah singgah di sebuah surau. Azan sudah berkumandang. Kemudian, iqamah. Dipendekkan cerita, imam tidak hadir. Mungkin ada hal penting. Para makmum saling bertolakan.”

A: “Kau pergi la jadi imam. Dah lambat ni. Imam tak datang.”
B: “Ehh kau la. Malu la aku. Aku tak bersedia lagi.”
C: “Kau dah pakai smart. Cepat la jadi imam.”
D: “Ehh, ada orang baru tu. Suruh dia jadi imam.”

“Akhirnya abang yang ditolak menjadi imam. Sedangkan abang baru pertama kali singgah di surau itu. Alasan? Kerana abang orang baru.” Abi menceritakan kepada ummi. Semangat.

Bersedia untuk menjadi imam

Situasi seperti ini pernah berlaku. Mungkin di surau atau masjid berdekatan anda. Tak kira samada golongan tua atau muda. Jika berlaku perkara seperti ini, apa tindakan anda?

Kita selalu mengatakan “Aku tidak layak.”

“Aku bukan sekolah agama. Aku tak cukup ilmu lagi. Jadi, lebih baik kau yang jadi imam.”

Semua mempunyai alasan yang tersendiri. Mungkin mereka menggunakan hadith ini sebagai hujah.

Diriwayatkan hadith daripada Abi Masud (r.a) (iaitu Abdullah bin Mas’ud) berkata: ‘Bersabda Rasulullah (s.a.w): “Menjadikanlah oleh kamu sekalian (yakni, hendaklah kamu jadikan atau angkat seseorang menjadi) imam kamu orang yang lebih pandai membaca Kitab Allah (a.w) (yakni, terbaik dalam membaca surah-surah al-Quran); maka jika ada sama mereka dalam kepandaian bacaan, maka mendahulukan oleh kamu (yakni, pilihlah) orang yang lama bertempat di qariah itu; maka jika sama lamanya dalam menjadi ahli qariah, maka dahulukan (yakni, pilihlah) orang yang lebih banyak ilmunya mengenai ilmu as-Sunnah (yakni, faqih tentang al-Hadith); maka jika sama dalam ilmu mereka mengenai ilmu as-Sunnah, maka mendahulukan (yakni, pilihlah) yang lebih tua antara mereka.” [Hadith an-Nasa’i]

Jelaslah, mengikut ketetapan Rasulullah (s.a.w), pemilihan imam solat itu hendaklah mendahulukan orang yang paling pandai membaca al-Quran (dari segi tartil, sebutan dan pandai mengenai makhraj huruf dan sebagainya) supaya bacaannya betul. Kemudian, lama tempoh dia menetap di qariah tersebut, jika sama pandai.

Kemudian, jika sama qari dan lebih kurang sama tempoh menetap di qariah tersebut, hendaklah dipilih orang yang paling alim tentang as-Sunnah (yakni, ilmu al-Hadith) supaya dia membaca surah-surah dengan betul dan baik serta dapat mengajarkan jemaahnya serta membimbing ahli qariahnya berpandukan Ilmu as-Sunnah. Jika ramai pula yang alim tentang as-Sunnah, maka hendaklah diangkat orang yang paling tua dalam kalangan mereka.

Secara ringkas, ada 4 peringkat iaitu pandai membaca Al Quran, paling lama menetap di qariah itu, paling banyak ilmu mengenai Hadith, dan paling berusia.

Sampai bila nak bersedia?

“Aku tidak mempunyai ciri-ciri untuk menjadi imam, seperti dalam hadith itu. Jadi, tak perlulah aku jadi imam. Tak layak. Nanti tak sah solat jemaah.”

Jika anda mengatakan “aku tidak layak”, sampai bila anda akan berfikiran sedemikian? Jika sedar bahawa diri ini tidak layak, mengapa tidak mahu berusaha melengkapkan diri untuk menjadi imam? Kenapa tidak mahu berusaha mendalami ilmu agama?

Percayalah. Semua lelaki perlu menjadi imam. Jika tidak menjadi imam solat kepada jemaah surau atau masjid, kita akan menjadi imam kepada keluarga kita. Menjadi imam solat kepada anak dan isteri kita.

Lengkapkan dirimu wahai lelaki. Berusaha untuk menjadi imam!

Ada sebuah kisah yang ingin abi kongsikan. Semoga kita semua mendapat iktibar daripada cerita ini.

Seorang pasangan baru selesai diijab kabulkan. Alhamdulillah. Masjid telah didirikan. Ketika di rumah, si isteri meminta si suami menjadi imam solat.

“Abang, ayah minta abang jadi imam solat maghrib nanti. Kita jemaah bersama dengan semua ahli keluarga. Abang jadi imam tau.” Kata isteri dengan penuh harapan.

Jika si suami pernah menjadi imam dan telah bersedia; “Ok sayang, abang akan tunaikan permintaan sayang. InsyaAllah boleh.”

Tetapi, jika si suami tidak pernah menjadi imam, dan tidak pernah berusaha untuk melengkapkan diri untuk menjadi imam; “Hmm, abang malu la sayang. Abang tak bersedia lagi. Nanti la.”

Apa perasaan isteri kita? Fikir-fikirkan.

0 ulasan:

Catat Ulasan